TAMAN NEGARA KINABALU




Bayangkan anda berada di suatu kawasan hutan pergunungan. Cuacanya nyaman, udaranya bersih dan suasananya cukup tenang dan damai. Bunyi yang kedengaran hanyalah kicauan burung dan nyanyian cengkerik serta riang-riang bersahut-sahutan. Anda dikelilingi alam semulajadi, jauh dari riuh dan hingar kota. Hutannya ditumbuhi pohon-pohon hijau dan segala ceruknya pula ditumbuhi tumbuhan berwarna-warni yang mempunyai pelbagai bentuk dan cara hidup, ada yang unik dan aneh, dan banyak daripadanya tidak terdapat di mana-mana tempat lain di muka bumi ini. Kawasan ini kekal sebagai hutan dara dengan sekitaran semulajadi walaupun ada sebahagian kecil kawasannya telah dibangunkan sebagai tapak peranginan semualjadi yang telah menjadi tumpuan pelancong dan pendaki dari jauh dan dekat. Di kawasan ini juga tersergam megah gunung suci yang indah menjulang langit. Keindahan alam, kekayaan flora dan fauna serta tahap perlindungan kawasan ini diiktiraf seluruh dunia dan telah pula diisytiharkan sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO.

Inilah Taman Kinabalu, sering disebut sebagai 'syurga' penggemar alam.

Pewartaan Taman Kinabalu

Taman Kinabalu, seluas 75,370 hektar (753.7 km persegi) telah diwartakan sebagai sebuah Taman Negara pada tahun 1964. Taman ini kemudiannya diubah nama kepada Taman Kinabalu pada tahun 1984. Taman ini merupakan salah sebauh daripada enam buah Taman yang diurus oleh Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Pelancongan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi negeri Sabah. Antara tujuan Taman-Taman ini diwartakan adalah untuk mengekalkan keindahan alam dan melindungi flora dan fauna yang terdapat di dalamnya.






Video Berkaitan:




Gambar-Gambar Berkaitan :






KUNDASANG WAR MEMORIAL

Pintu Masuk Kundasang War Memorial
Kundasang War Memorial yang terletak di bahagian belakang deretan kedai pekan
Kundasang ini adalah tugu peringatan sempena memperingati askar-askar Australia dan British yang ditawan oleh tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Di bawah ini ialah petikan yang tercatat pada tugu peringatan yang dipamerkan di pintu masuk tugu itu.

Semasa Perang Dunia Kedua, tawanan perang tentera Australia dan British dipenjarakan di Sandakan oleh pihak tentera Jepun. Tawanan perang pertama tiba dari Singapura dan mereka dipaksa untuk membina landasan kapal terbang tentera Jepun pada bulan Julai tahun 1942 dan menjelang pertengahan tahun 1943 lebih dari 1800 orang tawanan perang Australia dan 750 orang British menjadi buruh paksa di kem tahanan ini.


Keadaan hidup yang payah dan keadaan tempat kerja yang teruk wujud di kem tahanan ini. Tentera Jepun dan Pegawai Formosa yang sangat kejam terhadap tawanan perang dan bilangan tawanan perang yang mati pun meningkat sepanjang tahun 1943 dan 1944. Penduduk tempatan cuba sedaya upaya untuk menolong tawanan perang yang tidak berupaya itu kadang kala tidak menghiraukan ancaman bunuh yang dikeluarkan oleh pihak tentera Jepun.



Harga Tiket Masuk :

1) Dewasa : RM 2
2) Kanak-kanak bawah 12 tahun : RM 1
3) Pelajar yang beruniform : RM 1
4) Pelancong luar negara : RM 10



Gambar-Gambar Berkaitan :






LADANG TEH SABAH


Dengan ladang yang terbentang luas, dikelilingi oleh hutan hujan semula jadi dan udara dingin pergunungan,  Ladang Teh Sabah menyambut anda dengan keindahan persekitarannya yang jauh daripada hiruk-pikuk kota. Pemanduan selama 2 jam dari Bandar raya Kota Kinabalu dan 30 minit dari kawasan Pekan Ranau Ladang Teh Sabah megah dengan keindahan latar belakangnya iaitu Gunung Kinabalu.

Teh Sabah ialah satu-satunya ladang  teh organik  di Borneo dan salah satu daripada  beberapa ladang seumpamanya di dunia. Lawatan  ke ladang teh merupakan satu pengalaman yang memberikan pengetahuan dan menyeronokkan kerana seseorang akan melalui pelbagai aktiviti riadah  seperti menyeberangi  laluan berhalangan di Kawasan Rekreasi Sapaon, meredah  trek laluan ke Bukit Kamunsu atau meredah malam untuk menyaksikan sendiri kehidupan unik serangga.



Anda disarankan untuk memilih pakej 2 hari 1 malam,  Cabaran Teh Sabah, yang menyelitkan lawatan ke ladang dan kilang teh, kursus asas kemahiran  kemandirian di hutan,  Mengenali sungai dan kaedah  untuk menyeberangi sungai dengan selamat dan latihan berhalangan.  Pakej ini telah dianugerahi Program Pelancongan Terbaik (Pendidikan) dalam Majlis Anugerah Pelancongan Malaysia di Kuala Lumpur.



Pelawat boleh memilih sama ada menginap di rumah panjang tradisional, banglo mewah atau berkhemah di bawah kerdipan bintang malam.  Kemudahan lain yang disediakan termasuklah bilik seminar, restoran, kedai cenderamata, padang bola dan lapangan tenis.


Tidak kira sama ada untuk tujuan niaga atau berseronok, Ladang Teh Sabah menantikan  anda dengan jaminan pengalaman yang mencabar dan sukar untuk dilupakan. Tidak lengkap lawatan anda ke Ladang Teh Sabah tanpa menghirup teh Sabah yang terbaik!