Dengan ladang yang terbentang luas, dikelilingi oleh hutan hujan semula jadi dan udara dingin pergunungan, Ladang Teh Sabah menyambut anda dengan keindahan persekitarannya yang jauh daripada hiruk-pikuk kota. Pemanduan selama 2 jam dari Bandar raya Kota Kinabalu dan 30 minit dari kawasan Pekan Ranau Ladang Teh Sabah megah dengan keindahan latar belakangnya iaitu Gunung Kinabalu.
Teh Sabah ialah satu-satunya ladang teh organik di Borneo dan salah satu daripada beberapa ladang seumpamanya di dunia. Lawatan ke ladang teh merupakan satu pengalaman yang memberikan pengetahuan dan menyeronokkan kerana seseorang akan melalui pelbagai aktiviti riadah seperti menyeberangi laluan berhalangan di Kawasan Rekreasi Sapaon, meredah trek laluan ke Bukit Kamunsu atau meredah malam untuk menyaksikan sendiri kehidupan unik serangga.
Pelawat boleh memilih sama ada menginap di rumah panjang tradisional, banglo mewah atau berkhemah di bawah kerdipan bintang malam. Kemudahan lain yang disediakan termasuklah bilik seminar, restoran, kedai cenderamata, padang bola dan lapangan tenis.

0 Komen:
Post a Comment